Recent Posts

Archive for July 2012

Senak ketika main

SAYA berkahwin dua bulan lalu. Hubungan seks saya dan isteri adalah normal dan kadangkala kami melakukannya tiga hari berturut-turut.

Masalahnya, bahagian kanan vagina isteri saya mengalami bengkak dan kadangkala dia terasa sakit ketika melakukan seks, di mana kedudukan zakar saya menujah ke sebelah kanannya.
Saya risau dan memberhentikan aktiviti seks buat seketika. Saya harap doktor dapat menjelaskan apakah masalah ini supaya kami dapat mengatasinya.

KARIL

Shah Alam

Anggota kelamin lelaki dan perempuan sememangnya direka untuk persetubuhan dan sepatutnya ia jadi tidak menyakitkan. Sakit ketika bersetubuh dikenali sebagai ‘dispareunia’.

Isteri terasa sakit ketika anda lakukan tusukan menghala bahagian kanan faraj. Sebelum ini dia tidak mengadu sakit, justeru, anda juga menyatakan kerap bersama, yang sememangnya menjadi kelaziman pasangan baru berkahwin.

Sepatutnya, hubungan seksual tidak menyakitkan kecuali jika ia ketika kali pertama dan sewaktu faraj kering. Jika ia menyakitkan dan kesakitan dapat dikesan pada tempat tertentu, mungkin bahagian faraj itu radang terkena jangkitan.

Lebih-lebih lagi jika pasangan menyatakan dia mengalami pengeluaran cecair dan gatal. Jadi sebaik-baiknya ialah membawanya berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Kini banyak doktor wanita yang boleh lakukan pemeriksaan untuk memastikan masalah sebenar supaya rawatan sewajarnya dapat diberi. Jika kesakitan itu hanya untuk beberapa hari, anda dan pasangan tidak perlu risau.

Jika faraj pasangan anda kurang lembap dan hubungan seks kesat, anda boleh gunakan jeli pelicin dan pertingkatkan ‘foreplay’ atau pemanasan terhadap pasangan agar hubungan seks berjalan lancar.

Masalah Angin pasang bagi lelaki

APAKAH tanda penyakit angin pasang? Adakah normal bagi seorang lelaki jika testisnya naik setiap kali batuk? Menurut perbincangan dengan rakan, ada yang mengatakan ia tidak sepatutnya naik. Apakah rawatan yang boleh saya jalani?

KHAIRI
Hulu Langat

anginpasang

Angin pasang atau hernia ialah benjolan di luar badan akibat organ badan seperti gumpalan usus yang terkeluar daripada pembukaan abnormal di antara bahagian dalam dan luar badan.

Misalnya, gumpalan usus yang termasuk ke dalam ruang kerandut buah zakar melalui pembukaan abnormal (yang sepatutnya tiada) di antara ruang dalam badan dan ruang dalam kerandut buah zakar.

Anda mengalami kenaikan buah zakar setiap kali batuk. Ini ialah tindak balas spontan ‘reflex Kremester’, iaitu otot Kremester yang menampung buah zakar, mencengkam atau tertarik secara spontan ketika anda batuk. Ini fenomena normal bagi lelaki.

Jangan risau dan usah dengar pandangan mereka yang tidak mahir mengenainya.
Tidak salah untuk berbincang, namun rujuk kepada pakar bagi menghindarkan anda mencuba pelbagai perkara ‘pelik’ bagi mengelak masalah lain berlaku.

Masalah lelaki tiada sperma dalam air mani

MINGGU ini, saya ingin menjawab satu soalan mengenai kegagalan seorang pesakit mendapatkan zuriat kerana masalah Azoospermia atau tiada sperma. Mungkin juga masalah ini dapat dikongsi semua pasangan yang gagal mendapatkan cahaya mata.

Seorang pesakit menghubungi saya dan menyatakan dia gagal menimang cahaya mata selepas lima tahun berkahwin. Dia pernah membuat pemeriksaan ujian air mani dan didapati tiada sperma di dalam air maninya.

Selepas memakan ubat diberi doktor selama seminggu, pesakit ini kembali berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan, namun keputusannya masih sama. Doktor turut memeriksa salur atau ‘tiub’ sperma dan mendapati ia tidak tersumbat.

Sebenarnya, ketiadaan sperma dalam air mani bukan disebabkan salur atau tiub air mani tersumbat, sebaliknya akibat kerosakan buah zakar yang mengeluarkan sperma.

Begitupun, untuk mengenal pasti jika salur air mani tersumbat, isi padu air mani akan berkurangan kepada satu mililiter (ml). Ini petanda bahawa salur sperma tersumbat.

Namun, jika isi padu air mani lebih daripada itu, masalah ketiadaan sperma dalam air mani tidak ada kaitan dengan saluran terbabit.

Ini mungkin disebabkan buah zakar anda rosak atau tidak dapat menghasilkan sperma. Jika kebetulan saiz buah zakar anda melebihi 12ml mengikut ukuran dengan alat pengukur buah zakar seperti ‘Prader’s Okidometer’, doktor boleh melakukan pembedahan kecil untuk mengambil secebis tisu daripada kedua-dua buah zakar anda untuk mengenal pasti jika kilang sperma berfungsi atau sebaliknya.

Jika didapati kilang sperma tidak aktif dan tiada sperma dalam kilang terbabit atau dalam salur dalaman buah zakar, ia menjadi masalah besar kerana anda tidak mungkin dapat menghamilkan pasangan. Untuk itu, anda tiada peluang memiliki cahaya mata.

Malah setahu saya, anda juga tiada peluang mendapat anak melalui proses benih derma atau ‘donor sperm’. Oleh itu, cara terbaik adalah dengan mengambil anak angkat.

Bagaimanapun, jika ujian pengambilan tisu buah zakar dan kaedah menyedut keluar sperma daripada salur sperma kecil dalam buah zakar menemui beberapa sperma separa matang, ia boleh disuntikkan ke dalam telur isteri untuk mendapat embrio atau hasil cantuman telur dengan sperma, yang mana ia boleh dimasukkan ke dalam rahim.

Jika kebetulan percantuman berlaku, kemungkinan isteri anda boleh hamil. Untuk memastikan kaedah ini boleh dilakukan, anda perlu merujuk kepada pakar kesuburan di kawasan tempat tinggal anda.

Saranan saya, Allah maha Kuasa. Jangan putus asa. Teruskan usaha mendapatkan cahaya mata. Kini dengan melayari internet, anda boleh mendapat banyak maklumat dan kemudahan perawatan kesuburan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...