Recent Posts

Archive for November 2012

Kehidupan seksual dingin

KEHIDUPAN SEKSUAL HAMBAR

Soalan

SAYA berusia 41 tahun dan isteri berusia 38 tahun. Kami sudah berkahwin selama 12 tahun. Sejak empat tahun lalu saya mengalami masalah dingin seks. Kami hanya mengadakan hubungan seks sekali sebulan atau tiga bulan sekali. Kadang-kadang berbulan-bulan lamanya kami tidak melakukan hubungan seks!

Kami tidak pernah berbincang mengenai masalah ini, tetapi kehidupan kami tetap bahagia dan boleh dikatakan tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan berkaitan masalah itu.

Apakah masalah yang menyebabkan masalah dingin seks dan bagaimana cara menghangatkan kembali kehidupan seksual kami?

SID
Klang, Selangor

Jawapan

MEMANG biasa terdengar keluhan pasangan suami isteri yang menyatakan suami atau isteri kurang melakukan hubungan seks. Jika ini berlaku atas pilihan sendiri, tiada sebab mengeluh.

Jika terpaksa atau keadaan itu berlaku akibat pasangan tidak minat atau kerap menolak atas berbagai alasan mungkin perkara itu boleh disempurnakan kembali apabila sebab penolakan itu diatasi atau ditangani.

Hubungan seks ialah aktiviti fizikal dan memerlukan tenaga serta tubuh badan sihat. Jika aktiviti harian yang biasa dapat dilakukan ini tidak bermakna hubungan seks juga begitu.

Keperluan tenaga berbeza dan tindak balas rangsangan untuk lelaki dan wanita perlu ada. Jika tidak, sukar menunaikannya walaupun satu kewajipan.

Jadi tidak hairan jika pasangan yang separuh umur mengalami perubahan itu. Hubungan seks kebiasaannya menggambarkan kedua-dua pasangan dalam keadaan terangsang dan melakukan persetubuhan dengan aktif.

Mungkin ini satu adegan yang berlaku kepada pasangan intim ketika muda. Malahan pasangan sama apabila sampai ke umur lebih tinggi masih boleh melakukan perkara sama.

Cuma, mungkin caranya tidak seperti dulu dan lebih kepada belaian, sentuhan, kucupan dan urutan. Jika kedua-dua berkemampuan dan berhajat, hubungan penetratif boleh dilakukan.

Bagi pasangan yang mendapati kehidupan seksual mereka hambar, mereka perlu berterus-terang dan membuat sesuatu secara bersama untuk meningkatkan lagi hubungan keintiman jika itu yang mereka mahu.

Keluar dari keadaan rutin mungkin perkara utama perlu dilakukan.

Lakukan aktiviti rutin bersama dengan cara berbeza. Tetapkan waktu dan masa untuk berintim dan pastikan persiapan dibuat terlebih dulu. Jika khuatir terganggu, tempahlah bilik hotel atau pergi bercuti tanpa membawa anak.

Bagi pasangan mengalami masalah syahwat, dapatkan bantuan profesional. Kini masalah seksual lelaki dan wanita dapat diatasi dengan rawatan moden. Jangan menderita dalam diam. Dapatkan bimbingan dan rawatan jika itu diperlukan.

Risiko tidak bersunat atau Khatan

SELEPAS melakukan hubungan seks bersama isteri beberapa minggu lalu, kulit di bawah zakar terkeluar dan berdarah (saya tidak bersunat).

Perdarahan berhenti selepas beberapa ketika, namun apabila melakukan seks baru-baru ini, bahagian kulit yang berdarah kembali terasa sakit. Perlukah saya bersunat dan membuang kulit itu?
LOY
Kuala Lumpur

Kulup atau kulit zakar atau kulit yang menyarung penghujung zakar dipotong ketika prosedur berkhatan. Ia dilakukan sebagai prosedur ‘ritual’ atau mengikut keperluan agama penganut Islam, Yahudi atau Nasrani.

Ia dilakukan sebagai syarat peralihan ke peringkat dewasa di sesetengah kepulauan India Barat dan penjagaan kebersihan alat kelamin lelaki di kebanyakan negara Barat seperti Amerika dan Eropah, kini di kebanyakan negara Afrika dan China bagi mencegah penyakit kelamin.

Selain itu, berkhatan dilakukan jika ada masalah pada kulit kulup zakar seperti ‘phimosis’ yang mana ia mengetat dan menyempit serta menyukarkan penghujung zakar keluar ketika ereksi.

Satu lagi masalah ialah ‘paraphimosis’ yang mana penghujung zakar boleh keluar ketika ereksi, tapi tercekik oleh kulup zakar atau seperti situasi yang anda alami, iaitu ia terkoyak ketika ereksi atau melakukan persetubuhan.

Jika dibiarkan tanpa membuat apa-apa, anda akan dapati setiap kali bersetubuh, kulit di bawah kepala zakar mudah melecet dan bengkak. Jangan melengahkan prosedur berkhatan.

Kini ada pelbagai kaedah berkhatan. Lagipun, kaedah berkhatan diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai inisiatif mustahak untuk penjagaan kesihatan lelaki. Anda boleh menjalani prosedur itu di mana-mana klinik keluarga atau hospital swasta atau kerajaan.

Seluar ketat menyebabkan zakar senak

SAYA berumur 21 tahun dan sering rasa sengal pada sebelah kiri zakar. Buah zakar kiri saya pula berada di depan manakala buah zakar kanan di belakang.

Saya juga merasa sengal dan sakit di bahagian belakang, manakala badan terasa panas seperti mahu demam.

AMIN
Melaka

Nenek moyang kita menggunakan pakaian yang selesa pada tubuh, sedangkan kita memilih pakaian ketat atau ‘body hugging’.

Jika pakaian sendat atau ketat pada tempat atau bahagian tubuh seperti anggota kelamin, kita mula terasa kurang selesa, sakit dan sengal di bahagian tertekan itu.

Bayangkan lelaki yang memakai seluar dan seluar dalam ketat berjalan jauh atau menaiki motosikal atau kereta. Pakaian ketat itu memberi tekanan kepada anggota kelaminnya.

Ditambah pula dengan perubahan yang berlaku kepada anggota kelamin seperti kemunculan ereksi spontan dan penarikan buah zakar dan cengkaman kerandut buah zakar.

Sudah tentu lelaki itu mengalami pelbagai ‘rasa’ selepas menanggalkan pakaiannya atau bertukar posisi. Anda lelaki muda dan mudah mengalami ereksi spontan.

Jika kedudukan zakar anda pada satu tempat dan tersorok dan kebetulan anda mencapai ereksi, sudah tentu anda terasa sakit ketika mengubah posisi.

Mungkin perasaan sakit yang anda alami ada kaitan dengan perkara itu.
Perasaan panas atau ‘demam’ boleh berlaku bila-bila masa dan sistem kawalan suhu badan akan menjalankan tugasnya supaya ia dalam keadaan stabil.

Tidak hairan jika seseorang yang muda seperti anda mempunyai rasa seperti ingin demam. Jika inginkan pengesahan sama ada benar-benar demam, anda perlu catat suhu badan.

Saya pasti suhu badan anda ‘normal’. Bagaimanapun, sila rujuk kepada doktor jika kita rasa badan tidak berfungsi seperti biasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...