Ejakulasi pra matang

Spread the love

Ejakulasi pramatang

Hubungan kelamin yang sempurna berlaku apabila kedua-dua pihak mencapai kepuasan yang dikehendaki. Kegagalan pihak lelaki melambatkan ejakulasi sehingga pihak wanita mencapai ‘matlamat’nya dipanggil ejakulasi pramatang.

Menurut statistik di Amerika Syarikat, sehingga 30% di kalangan kaum lelaki mengalami masalah ini tidak kira peringkat usia.

Antara punca masalah ini adalah kurang pengalaman dalam melakukan hubungan kelamin (terutamanya kepada mereka pada usia muda), gangguan psikologi, masalah kesihatan seperti diabetes, atau masalah uluran seperti prostatitis.

Terdapat pelbagai terapi untuk masalah ini termasuk teknik fizikal dan pengambilan ubat.

Tiga teknik fizikal yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah:

1. Teknik Berhenti dan Tekan

Caranya adalah apabila terasa seperti ejakulasi pramatang akan berlaku, berhenti dan tekan bahagian hujung zakar dengan ibu jari dan dua jari lagi selama 20 saat.

Ulangi apabila perasaan yang sama dialami sehingga ejakulasi boleh ditunda tanpa perlu memicit.

2. Teknik Mula dan Berhenti

Ini lebih kepada teknik latihan di mana pasangan akan memberi rangsangan tanpa hubungan kelamin dan berhenti apabila terasa ejakulasi akan berlaku. Ulang beberapa kali untuk membiasakan dengan tindakan mem’brek’ sebelum berlaku ejakulasi

3. Latihan Kegel

Latihan ini asalnya bertujuan untuk membantu mereka yang mengalami masalah sukar mengawal kencing di kalangan kaum lelaki dan wanita.

Ia melibatkan otot-otot yang mengawal air kencing daripada keluar melalui kemutan. Latihan ini boleh didemonstrasi semasa membuang air kecil di mana air kencing ditahan dan dilepaskan beberapa kali sehingga selesai.

Latihan ini dilakukan pada bila-bila masa di mana otot-otot ini dikemut selama 10 saat, dilepaskan selama 10 saat, dilakukan dengan diulang sebanyak 10 kali. Latihan ini boleh dilakukan sebanyak 3 hingga 4 kali sehari.

Teknik-teknik fizikal ini adalah mudah dan selamat, dan telah berjaya memmantu 60% hingga 90% lelaki yang mengalami masalah ejakulasi pramatang. Namun begitu, ia memerlukan masa untuk berjaya dan kerjasama kedua belah pihak, sebaik-baiknya dengan bimbingan pakar terapi.

Ini menyebabkan teknik pengambilan ubat lebih menjadi pilihan, walaupun perlu mendapatkan nasihat pakar bagi mengelakkan kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubat tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...