Prostat adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra. Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani. Kelenjar prostat (prostate gland) ini menghasilkan cecair mani, manakala otot-ototnya itu akan menolak cecair ini semasa ejakulasi (pancutan semasa hubungan seks). Selain daripada itu, otot-otot ini juga berkerja bersama-sama dengan otot pundi kencing untuk mengawal pengaliran air kencing.
Gejala kanser prostat:
* Aliran air kencing yang tidak lancar.
* Rasa hendak buang air kecil kerap kali pada waktu malam.
* Sakit atau pedih semasa buang air kecil.
* Sakit semasa ejakulasi (pancutan mani).
* Darah dalam air kencing atau air mani.
Jika anda mengalami gejala ini. Sila berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya . Tahap kesedaran lelaki secara umumnya adalah rendah dan dianggarkan kurang satu peratus lelaki tempatan bersedia menjalani pemeriksaan kesihatan.
Risiko kanser prostat
Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Risiko menghidapi kanser prostat juga bertambah apabila umur melebihi 45 tahun. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara . Lelaki dengan paras kalsium tinggi dalam darah mungkin berisiko tinggi mendapat kanser prostat yang boleh membawa maut.
Salah satu ciri kanser prostat adalah sel-sel kansernya kebanyakannya membiak dengan perlahan berbanding kanser yang timbul pada organ lain seperti usus dan perut. Ini bermakna kebanyakan lelaki tidak akan sedar bahawa mereka sudahpun mempunyai kanser prostat serta tidak mengalami apa-apa gejala dan tanda akibat kehadiran kanser tersebut dan akan meninggal dunia akibat punca lain seperti sakit jantung bukannya kerana kanser prostat.
Selain tidak menunjukkan apa-apa simptom, rasa malu dan ego antara penyebab utama lelaki lebih rela menderita dalam diam daripada menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan. Tidak ramai lelaki bersedia membincangkan masalah membabitkan anggota sulit. Saya ingin sekali nasihatkan kawan-kawan saya di sini untuk membincangkan perkara ini dengan doktor yang akan membuat pemeriksaan dan memberikan rawatan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah ini sekiranya ada.
Barah cegah sebelum parah!anda mampu mengubahnya:_~