SAYA mengalami masalah kencing berdarah. Apakah puncanya serta cara mencegahnya kerana saya berasa sakit, terutama di kepala zakar, ketika membuang air kecil. Saya juga terasa senak pada buah pinggang. Apa perlu saya lakukan dan adakah masalah ini serius?
ZAKUAN
Masjid Tanah
Ada beberapa tanda penyakit serius dan individu yang mengalaminya perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Kencing berdarah satu daripada tandanya.
Jika berlaku tiba-tiba dan tidak menyakitkan, ia mungkin tanda awal kanser untuk lelaki atau perempuan yang berumur.
Secara rambang, perkara yang biasa dikaitkan dengan kencing berdarah ialah penyakit batu karang. Ia boleh berlaku tiba-tiba, tapi ada rasa sakit yang bermula di belakang dan melarat ke penghujung zakar atau buah zakar. Ketika membuang air kecil, kencing mengandungi darah.
Salur kencing pula kadangkala terasa sakit seperti ada ‘pasir’ keluar bersama air kencing. Jika kebetulan dalam keluarga anda pernah terjadi kes batu karang, kemungkinan besar anda mungkin mengalami masalah sama.
Doktor akan lakukan pemeriksaan dan menjadualkan ujian air kencing, dan jika ada darah atau ada sesuatu perlu dikendalikan, pemeriksaan susulan seperti ujian sinar X buah pinggang, pundi kencing dan salur ureter dilakukan untuk meneliti jika ada kesan batu karang. Jika tidak kelihatan, ujian imbasan dilakukan.
Jika didapati batu karang itu besar, cara mengeluarkannya ialah melalui pembedahan. Jika tidak atau kurang daripada satu sentimeter (cm), mungkin ia boleh dihancurkan melalui terapi ESWL, iaitu menggunakan teknologi gelombang bunyi untuk menghancurkannya.