sukar mengandung

Spread the love

APAKAH kaedah penghamilan yang bersesuaian bagi mengatasi masalah isteri saya yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang hampir 12 tahun. Untuk pengetahuan doktor, isteri saya pernah hamil tetapi mengalami keguguran ketika usia kandungan tujuh bulan. Selepas puas mencuba, kami masih gagal mempunyai zuriat sehingga sekarang.

AZLAN
Johor

Saya pasti doktor anda mungkin memberitahu mengenai situasi kemampuan kehamilan di kalangan wanita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang atau ‘end stage renal failure’.

Sebenarnya, kesuburan wanita yang mengalami penyakit kegagalan buah pinggang sangat rendah iaitu kurang daripada 0.5 peratus setahun dan ia berkurangan jika wanita itu menjalani pembersihan darah melalui ‘peritoneal dilysis’ atau dari perut.

Ini disebabkan tekanan kepada hormon kesuburan yang tidak seimbang dan kegagalan ovulasi. Jika wanita itu mencapai kehamilan, kemungkinan berlaku keguguran ketika dalam tiga bulan pertama.

Sebilangan besar janin yang dilahirkan mati dan sebilangan lagi lahir tidak cukup umur atau mempunyai berat badan yang sangat rendah. Bagaimanapun, wanita yang mempunyai buah pinggang yang masih berfungsi walaupun sedikit dapat melahirkan anak sihat.

Sama juga jika wanita hamil yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang menjalani pembersihan darah lebih kerap (20 jam seminggu), kehamilannya dapat diselamatkan.

Begitupun, ini bukan satu jaminan kerana prosedur ini boleh memberi tekanan kepada wanita hamil itu.

Risiko kesihatan kepada wanita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang ketika hamil ialah masalah tekanan darah tinggi yang boleh menjadi lebih ketara dengan risiko strok dan serangan sakit jantung.

Selain itu, kemungkinan menghidap sawan kehamilan juga boleh berlaku. Ini sangat berbahaya untuk ibu dan anak dalam kandungan.

Penyakit kurang darah atau anemia juga menjadi lebih ketara dan boleh mengganggu kesihatan ibu dan anak dalam kandungan. Namun begitu, saya syorkan anda berbincang dengan pakar buah pinggang isteri anda secara lebih terbuka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...