Recent Posts

Posts Tagged ‘Ereksi’

Penyakit punca lesu dan lemah ereksi

Lelaki sudah pastinya akan mengalami ereksi jika terdapat tindak balas rangsangan seksual. Ia adalah perkara biasa bagi seorang lelaki jika dia tidak mempunyai apa- apa masalah kesihatan dan mempunyai tubuh badan yang baik.

Begitupun, jika keadaan tidak mengizinkan seperti ketika keletihan atau tekanan misalnya, tindak balas seksual tidak atau sukar untuk berlaku. Namun, ereksi masih boleh berlaku jika ia dipaksa tetapi akan memberikan kualiti erek yang berkurangan seperti tidak keras atau tidak cukup padat.
Bagi mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat, situasi ini boleh berlaku kepada mereka bila-bila masa saja. Pesanan saya untuk kaum lelaki, jika anda mahukan daya ereksi yang terbaik, sentiasalah mengamalkan gaya hidup sihat.

Senaman berkala seperti joging, berjalan atau berenang dapat membantu menyihatkan badan. Senaman ini dapat membina stamina yang amat diperlukan ketika mahu bersama pasangan. Senaman kegel atau senaman ‘kemut’ juga membantu memantapkan benteng zakar.

Senaman ini boleh dilakukan empat hingga lima kali sehari dan setiap kali hanya dua atau tiga minit saja sudah mencukupi. Namun jika anda masih mendapati kemampuan ereksi kurang padat atau kurang meyakinkan, segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sesetengah lelaki gagal mempunyai daya ereksi mantap walaupun mengamalkan gaya hidup sihat kadangkala mempunyai masalah kesihatan dalaman. Ia seperti kemunculan penyakit kronik kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Jika kebetulan anda mengalami masalah peningkatan kolesterol dalam darah, anda perlu mendapatkan rawatan kerana masalah ini turut memperlahankan perjalanan darah ke dalam otot zakar.

Sesetengah lelaki mengesyaki keadaan buah zakar kiri kelihatan lebih besar dan menyangka ia berkaitan dengan masalah lemah syahwat. Bagaimanapun, tanggapan itu salah. Jika anda berasa ragu selepas membuat pemeriksaan kendiri terhadap zakar, lebih baik anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

Jangan sekali-kali memakan ubat kuat atau apa-apa alat untuk zakar yang dijual secara berleluasa di pasaran luar. Semua itu mungkin tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan kemungkinan diperbuat daripada bahan tiruan.

Justeru, nasihat doktor adalah jalan penyelesaian terbaik bagi mana-mana lelaki yang mengalami masalah lemah tenaga batin.

Tahap ereksi atau stim

TAHAP ereksi tertakluk kepada kepadatan liang otot zakar yang mengandungi kandungan darah banyak dan kekuatan otot lantai pelvis atau otot kemut.

Apabila seseorang lelaki teruja dan perasaan seksualnya terangsang, darah masuk dengan lancar dalam kuantiti banyak dalam liang otot zakar.

Dalam keadaan begini, kekuatan ereksi menjadi kekal dan padat serta hubungan seksual penetratif dapat dilakukan dengan sempurna.

Apabila darah kurang kekal dalam otot zakar dan terkeluar secara sedikit demi sedikit, situasi ini dikenali sebagai ‘venous leak’ atau keciciran darah daripada pembuluh vein, oleh itu kualiti kekerasan zakar menjadi kurang.


Dalam keadaan begitu, tusukan zakar sukar dilakukan atau zakar cepat mengendur serta ejakulasi cepat berlaku.

Dalam keadaan begini, sudah tentu ejakulasi akan menjadi tidak berdaya atau ia tidak memancut. Kebanyakannya hanya meleleh.

Keadaan ini terjadi di mana tahap ereksi kurang bertenaga dan hubungan seksual secara tusukan pula sukar dilakukan.

Jika lelaki mengalami masalah ini, ia digelar mati pucuk atau disfungsi erektil.

Pada masa sama, ia menandakan tahap ereksi tidak mencukupi kerana kekurangan kepadatan akibat kekurangan kemasukan darah yang banyak ke dalam otot zakar.

Ini mungkin berlaku apabila perjalanan darah dalam otot zakar kurang lancar atau otot zakar tidak mengembang dengan secukupnya untuk mengizinkan darah masuk dengan banyak atau darah yang masuk dalam otot tidak kekal dan terkeluar daripada salurannya.

Kepada lelaki yang mengalami masalah ini, anda harus mengamalkan gaya hidup sihat. Jika masalah ini terjadi ketika usia masih muda, anda seharusnya lebih berjaga-jaga.

Saranan saya, lakukan senaman berkala. Hentikan tabiat merokok dan jaga berat badan pada tahap sesuai. Anda boleh lakukan senaman kemut atau senaman Kegel untuk memantapkan otot lantai pelvis.

Ini dapat memberi kekuatan kepada pangkal zakar dan boleh membuatkan ejakulasi lebih berdaya. Anda perlu berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan kesihatan, sama ada anda menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah kolesterol tinggi.

Didapati lelaki yang mengalami simptom mati pucuk mungkin mempunyai petanda kemunculan penyakit kronik terbabit.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kongsi Artikel | Facebook MySpace Google Twitter

Remaja masalah alat kelamin kerana zakar senak

SAYA remaja berusia 22 tahun dan mempunyai beberapa masalah berkaitan alat kelamin saya.

Ketika bangun tidur, zakar tidak ereksi seperti biasa. Adakah itu normal atau saya mempunyai penyakit?

Ketika ingin melakukan hubungan seksual, zakar saya menegang tetapi lama-kelamaan ia menjadi lemah dan selepas melakukan hubungan kelamin, zakar saya seakan-akan sakit seperti membengkak.

Buah zakar saya terasa senak. Adakah saya akan mengalami mati pucuk? Saya juga kerap beronani dan pernah mengalami buasir.

REMAJA BINGUNG

Anggota kelamin lelaki dan wanita ialah organ untuk melakukan hubungan intim. Anggota terbabit mendapat seruan atau bertindak balas ketika lelaki dan wanita teruja atau terangsang seksual.

Apabila anggota itu dalam keadaan bersedia, iaitu zakar keras dan tegang manakala faraj renggang dan mukosa menghasilkan rembesan pelembap semula jadi, hubungan penetratif seksual boleh dilakukan. Selepas lelaki dan wanita mencapai kemuncak atau klimaks, kedua-dua anggota itu akan reda.

Jika mereka masih berhajat menyambung hubungan seks penetratif, ereksi kembali berlaku dan faraj bersedia menerima zakar.

Fungsi anggota kelamin dan tindak balas kepada rangsangan seksual turut dipengaruhi faktor kesihatan dan umur. Jika lelaki dan wanita muda, tindak balas lebih cepat dan aktif. Jika sudah berusia, tindak balas lebih lemah dan kurang bertenaga.

Jika hubungan jarang berlaku, fungsi anggota itu pula menjadi lembab. Selain itu masalah kesihatan seperti buasir turut melemahkan tahap kemutan jika ia menjadi radang dan menyakitkan. Jika masalah ini kronik, fungsi ereksi lemah dan tahap ketegangan tidak mantap.

Apabila masalah buasir sembuh dan pulih, keadaan menjadi pulih. Berbalik kepada situasi anda, anda masih muda dan tiada masalah fungsi ereksi. Anda boleh mencapai ereksi ketika mahukannya. Tidak semestinya jika tiada ereksi pagi, itu menjadi tanda mati pucuk.

Jika anda jarang mendapat ereksi pada waktu pagi tetapi mampu mencapai ereksi ketika beraksi dengan pasangan, itu perkara biasa. Jika tahap ereksi tidak kukuh, ini mungkin kerana penyakit buasir yang anda alami.

Tahap ereksi dapat ditingkatkan dengan mengemut. Anda tidak dapat melakukan kemutan padat kerana buasir. Apabila pulih dan anda mampu mengemut kuat, tahap ereksi akan padat semula.

Bengkak pada zakar selepas persetubuhan perkara biasa apabila hubungan penetratif dilakukan dengan rancak dan lama. Sama dengan anggota kelamin wanita. Rasa senak juga perkara biasa jika buah zakar tertekan atau terlanggar. Kadangkala selepas ejakulasi, ia akan sengal seketika dan normal.

Jika pembuluh darah buah zakar kembang, ia boleh mengakibatkan sengal. Jika rasa itu kerap dan berpanjangan, baik anda jalani pemeriksaan doktor.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...