Stress boleh menjejaskan zakar untuk stim
SAYA berusia 34 tahun dan sudah lima tahun mendirikan rumah tangga. Kini saya mempunyai tiga anak.
Apa yang membimbangkan, saya kini tidak dapat mengawal ereksi.
Anehnya masalah ini hanya berlaku baru-baru ini. Tiga minggu sebelumnya ia masih berfungsi seperti biasa. Adakah ia petanda masalah mati pucuk?
Untuk pengetahuan doktor, saya ada mengambil ubat batuk, selesema dan antibiotik selama dua minggu.
Ini termasuk ubat tahan gatal akibat sakit mata. Adakah masalah ini berlaku kerana pengambilan ubat berkenaan?
ZUL,
Pengkalan Balak, Melaka
MATI pucuk atau disfungsi erektil ialah kegagalan lelaki untuk mencapai ereksi yang mencukupi bagi tujuan persetubuhan. Ia jarang berlaku secara tiba-tiba kecuali disebabkan tekanan atau akibat pengambilan ubat yang mengganggu aliran darah ke zakar apabila rangsangan seksual berlaku.
Bagi lelaki yang mengalami tekanan, dia tidak dapat memberi tumpuan ketika melakukan persetubuhan.
Jadi, mood dan keinginan sebenarnya memainkan peranan penting. Jika tidak, ereksi akan gagal dan jika dia berasa cemas, kemungkinan kemampuan untuk ereksi terus terganggu.
Ubat untuk mengawal alahan atau selesema (antihistamine) memang boleh memberi kesan tidak elok kepada ereksi. Tindak balas daripada ubat terbabit boleh mengakibatkan aliran darah ke dalam zakar terganggu ketika rangsangan seksual berlaku.
Anda tidak perlu cemas tidak ereksi gagal ketika pengambilan ubat berkenaan. Apabila kesannya sudah habis, ereksi akan kembali normal.
Jika masih lagi gagal, besar kemungkinan adalah disebabkan tekanan. Ia juga boleh membantutkan ereksi dengan penghasilan ‘adrenalin’ daripada pundi adrenal yang terletak di atas buah pinggang.
Efek kimia ini boleh merencatkan kelancaran darah ketika ereksi. Namun apabila tekanan itu dapat diatasi, ereksi akan kembali normal.