Zakar tidak tegang seperti dulu

Jumlah Paparan:0

Zakar tidak tegang seperti dulu

SAYA berusia 44 tahun dan sudah mempunyai empat orang anak. Untuk pengetahuan doktor, saya menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan masih mengambil ubat sehingga sekarang.
Apa yang merunsingkan saya ialah zakar saya tidak mampu menegang seperti dahulu. Kebiasaannya, ia hanya mampu bertahan untuk seketika saja.

Saya kecewa kerana isteri saya tidak mendapat nikmat yang sepatutnya ketika kami melakukan persetubuhan. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

AMIR

Teluk Intan, Perak

PENYAKIT kencing manis atau diabetes boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan individu jika tidak dikawal. Kesannya termasuklah perubahan kepada karbohidrat metabolisma dan lemak.

Selain itu, ia memberi tekanan kepada selaput urat saraf dan lapisan dalam vaskular. Jadi, individu yang mengalami diabetes tanpa kawalan akan mengalami tekanan darah tinggi dan sakit jantung. Ini termasuk gangguan perjalanan darah ke organ ‘penghujung’ seperti kaki, tangan dan kemaluan(zakar).

Kesan diabetes kepada kesihatan bergantung kepada jangka penyakit berkenaan iaitu lebih lama menghidapnya, lebih beratlah kesan negatif kepada kesihatan. Jika tidak dikawal ia akan menjadi lebih buruk.

Jadi tidak hairan jika lelaki yang suatu ketika dahulu begitu hebat tenaga seksualnya, tetapi apabila dijangkiti diabetes dan tidak menjaga kesihatan (tidak ikut nasihat doktor dan tidak makan ubat serta jaga pemakanan!) akan mendapati tenaga syahwatnya tidak hebat lagi, malahan semakin lemah!

Bagi lelaki yang sudah berusia 40 tahun ke atas, jangan ambil mudah perkara ini. Pastikan anda menjalani pemeriksaan doktor untuk mengenal tahap kesihatan dan sekiranya terdapat perubahan kepada tahap glukosa dalam darah dan ujian susulan menggambarkan kemungkinan boleh kena diabetes, ikut nasihat doktor mengenai penjagaan makanan dan gaya hidup.

Gangguan syahwat yang boleh berlaku kepada penghidap diabetes termasuklah masalah cepat klimaks (ejakulasi pramatang) dan mati pucuk.

Terdapat juga keadaan yang mana individu itu boleh mencapai ereksi dan dapat melakukan persetubuhan, tetapi lambat klimaks dan kadangkala tidak klimaks langsung! Ada kalanya penghidap kencing manis dapat merasai klimaks tetapi tiada pengeluaran air mani! (kebiasaannya bagi lelaki muda).

Untuk mengelak daripada dijangkiti diabetes, amalkan gaya hidup sihat. Kurangkan makanan bergula dan kawal pengambilan karbohidrat. Lakukan senaman dan pastikan yang berat badan kurang (BMI atau Body Mass Index kurang atau mengikut umur dan struktur badan).

Kepada mereka yang menghidapnya, ikut nasihat doktor berkaitan dengan pemakanan dan amalan kesihatan yang lain seperti senaman dan pemeriksaan susulan. Jangan mudah terpengaruh dengan cakap orang yang tidak bertauliah berkaitan amalan kesihatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...