MASALAH disfungsi erektil atau ED boleh berlaku pada semua lelaki dewasa, sama ada muda atau tua. Apabila tidak cukup darah disalurkan ke dalam ruang otot alat kelamin dalam keadaan teruja seks, ereksi tidak berlaku.
Justeru, cara yang biasa dikendalikan ialah memastikan banyak darah masuk ke dalam otot itu.
Konek lembik harus diurut dan jika masih berkemampuan, ereksi berlaku seketika dan lelaki itu perlu memasukkan alat kelaminnya ke dalam alat kelamin pasangan secepat mungkin. Jika tidak dibuat segera, ia menjadi kendur semula.
Bagaimanapun, ini bukan cara merawatnya kerana lambat-laun ereksi tidak akan berlaku seperti kebiasaan. Ramai lelaki tidak sedar tanda ereksi tidak menjadi atau gagal adalah tanda permasalahan menyeluruh.
Ia mungkin tanda anda mempunyai penyakit tertentu seperti masalah kardiovaskular atau tanda akan terkena penyakit kardiovaskular.
Ia juga mungkin petanda penyakit kencing manis atau masalah berkaitan peningkatan kolesterol dalam darah.
Jadi perkara bijak untuk mana-mana lelaki yang mengalami masalah ini ialah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan menilai tahap kesihatan serta mendapat nasihat dan rawatan jika ada masalah tertentu.
Selain itu, kegagalan mencapai ereksi ketika ingin melakukan hubungan seks dengan pasangan ialah petanda amalan gaya hidup tidak sihat.
Hubungan seks adalah hubungan lasak fizikal serta memerlukan tenaga dan kekuatan fizikal. Obesiti, tidak melakukan senaman secara berkala, tekanan dan amalan tidak sihat seperti merokok dan minum minuman keras menjadi beberapa faktor yang mempengaruhi kemampuan seksual lelaki.
Jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat, anda tidak ada sebab untuk tidak melakukannya. Anda boleh berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mulakan senaman lasak atau mengurangkan saiz badan yang mungkin obes.
Ini mustahak untuk mengelakkan masalah kesihatan lain. Mungkin melalui pemeriksaan terbabit doktor dapat mengesan penyakit tertentu lebih awal, seperti peningkatan kolesterol atau masalah kardiovaskular.
Apabila badan anda cergas akibat senaman berkala, tahap hormon testosterone menjadi mantap dan sistem syahwat lebih baik serta kemampuan fungsi seksual lebih berdaya.
Anda tidak perlu memakan ubat kuat atau menjalani urutan batin kerana ini semua tidak berkesan dan hanya untuk jangka pendek.
Ubat pelancar darah untuk lelaki yang benar-benar mengalami masalah mati pucuk tidak boleh disalahgunakan oleh orang muda, kecuali doktor pakar mencadangkannya.
Kepada lelaki yang mengalami masalah ini, saya sarankan segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan amalkan gaya hidup sihat.