Mengikut pertanyaan mengenai seorang lelaki yang mendakwa tidak boleh ereksi walaupun mendapat rangsangan daripada si isteri. Ingin saya nyatakan di sini bahawa ereksi dan kelelakian itu adalah sinonim.
Selain menjadi lambang kelelakian, ia menggambarkan anggota kelamin lelaki berfungsi normal. Malah secara purata, lelaki boleh menghayati ereksi sebanyak 20 kali sehari secara spontan dan pada bila-bila masa dan bukan saja ketika dalam tidur atau teruja.
Hanya tahap dan kualiti ereksi berbeza, yang mana ereksi ketika dalam tidur lebih padat, yang juga berlaku apabila lelaki dalam keadaan sangat teruja seksual.
Kekerapan ereksi spontan tinggi ketika lelaki dalam peringkat kemuncak baligh iaitu antara umur 16 hingga 20 tahun dan lebih lagi jika lelaki itu suka berfantasi seksual, sama ada beronani atau membelai saja.
Apabila usia meningkat dan aktiviti berkhayal dan membelai alat sulit itu mula kurang atau jarang dilakukan, kekerapan ereksi juga kurang dan tahap ereksi menjadi sederhana serta tidak sepadat dulu, kecuali dalam keadaan sangat teruja.
Perubahan kepada kesihatan turut mempengaruhi ereksi. Jika kurang sihat, ereksi kurang atau tiada dan apabila keadaan kesihatan pulih, keadaan pencapaian ereksi menjadi seperti sedia kala.
Kecederaan anggota kelamin juga mempengaruhi kualiti ereksi, sebagai contoh jika anggota kelamin tertendang atau terkena bola. Apabila kecederaan pulih, fungsi ereksi muncul kembali.
Memandangkan ereksi dalam kawalan urat saraf dan sistem perjalanan darah yang lancar, apa-apa masalah yang berlaku kepada fungsi itu akan mempengaruhi kualiti ereksi.
Contohnya, menaiki basikal atau motosikal untuk jangka masa lama dengan tekanan kepada bahagian kelangkang dan pangkal anggota kelamin yang membuatkan perasaan kebas atau lenguh pada bahagian itu, sebenarnya memberi tekanan kepada urat saraf dan perjalanan darah kepada bahagian itu, akan membuatkan fungsi ereksi tergendala.
Tidak hairan jika sesetengah lelaki yang kerap menggunakan kenderaan itu mendapati ereksi mereka kurang tegap dan kualiti klimaks menurun.
Jika tidak sedar perkara itu disebabkan tekanan yang berlaku kepada pangkal anggota kelamin, sudah tentu lama kelamaan mereka mengalami masalah kepada ereksi dan mungkin mati pucuk.
Tahap hormon testosterone juga mempengaruhi kekuatan dan kualiti ereksi. Jika hormon tinggi, seperti dalam peringkat awal baligh, ereksi sangat kerap dan apabila tahap hormon menurun, ereksi kurang dan kadangkala tiada untuk jangka masa lama. Senaman dan amalan gaya hidup sihat mempengaruhi ereksi.
Penyakit kronik juga mempengaruhi keadaan ereksi. Penyakit seperti tekanan darah tinggi, peningkatan kolesterol, penyakit koronari dan penyakit kencing manis menjadi sebab utama lelaki mati pucuk.
Pada peringkat awal penyakit itu, fungsi ereksi tergendala dan lelaki yang waspada dan peka mengenai tahap kesihatannya akan berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mereka juga harus mengelak mendapat ubat kuat atau jumpa tukang urut untuk memulihkan fungsi ereksinya kerana amalan itu hanya untuk sementara.
Sepatutnya mereka menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengesan masalah kesihatan supaya sesuatu yang tidak sempurna dapat diselesaikan dengan baik sehingga tahap kesihatan pulih dan fungsi ereksi kembali pulih.
Tidak dinafikan, ereksi lelaki kekal sehingga ke liang lahat dan itu pun mengikut tahap kesihatan dan kekuatan lelaki itu. Jika ereksi tidak menjadi dan hajat melakukan hubungan intim dengan pasangan tidak sampai, ini tidak semestinya dibiarkan begitu.
Kini dengan rawatan moden, kemampuan ereksi dapat dikekalkan dan yang mustahak ialah mendapatkan khidmat doktor.
Kini mati pucuk bukan masalah lagi jika anda mengamalkan gaya hidup sihat, henti merokok dan jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan dapatkan rawatan moden jika mengalami mati pucuk. Jangan derita dalam sepi.