SAYA mempunyai masalah di mana ada ketumbuhan seperti jerawat yang agak besar di bahagian pangkal alat sulit (hampir pada testis di sebelah kanan). Ia baru tumbuh kira-kira tiga hari lalu dan sakit bila disentuh. Adakah ia sejenis penyakit berbahaya?
Terima Kasih
Zairi, Taiping
Pemeriksaan kendiri terhadap anggota kelamin iaitu memeriksa buah zakar, kerandut dan zakar itu amalan baik yang perlu dilakukan sebulan sekali.
Cara ini dapat membantu mengesan perubahan tidak sihat terhadap alat sulit. Kebetulan, anda mengesan ketulan seperti jerawat di kerandut buah zakar dan ia terasa sakit ketika dipicit.
Di dalam istilah perubatan ketulan ini dikenali sebagai ‘sebaceous cyst’ dan jika ketulan ini membesar ia dikenali sebagai ‘Wen’.
Kemungkinan besar ketumbuhan yang terdapat kepada kulit kerandut anda itu benar-benar jerawat, tapi jerawat kerandut.
Jerawat kerandut berlaku apabila pundi cecair pelembap atau pundi ‘sebaceous’ membengkak akibat salur pundi terkandas.
Jika anda teliti ketumbuhan itu, anda akan nampak ketulan berkenaan terjojol daripada kulit jika anda memicitnya. Jarang jerawat kerandut menjadi besar.
Jika ini berlaku anda perlu jumpa doktor. Malah jika anda berasa kurang selesa dan curiga mengenai ketulan itu, dapatkan pemeriksaan segera.