SAYA lelaki berusia 22 tahun dan mendirikan rumah tangga enam bulan lalu. Sejak kebelakangan ini saya mengalami kegatalan pada zakar iaitu kegatalan dalaman (bukan pada kulit). Kadangkala kegatalan itu terasa di antara dubur dan buah zakar.
Apakah punca masalah terbabit dan adakah ia membawa apa-apa penyakit kelamin atau kuman?
Adakah ia boleh memudaratkan isteri saya, lebih-lebih lagi dia kini mengandung. Adakah kemungkinan ia disebabkan oleh onani atau seks oral isteri?
MIROL
Sibu, Sarawak
Perasaan gatal yang dialami dalam salur kencing mungkin mempunyai kaitan dengan jangkitan penyakit kelamin memandangkan perkara ini tidak pernah berlaku ketika anda belum berkahwin.
Anda menyatakan anda dan pasangan mengamalkan seks oral.
Kemungkinan kegatalan yang dialami disebabkan oleh jangkitan, kerana jangkitan boleh berlaku kepada mukosa salur kencing anda akibat seks oral yang dilakukan pasangan anda berikutan jangkitan kuman daripada mulut.
Jangkitan sebegini jarang memberi apa-apa kesan kecuali perasaan gatal dalam salur kencing. Jarang kegatalan itu membuatkan mukosa salur kencing menjadi radang dan menghasilkan lelehan atau ‘urethral discharge’.
Jika keadaan ini dibiarkan saja dan kebetulan pula, memang benar-benar ada jangkitan, ia akan menular ke faraj dan jika ketara, boleh mengancam kehamilan isteri anda.
Saya cadangkan anda menggunakan kondom ketika bersetubuh dengan pasangan selagi masalah ini tidak selesai.
Anda boleh berjumpa doktor untuk menjalani ujian air kencing dan darah. Jika ada keradangan salur kencing, air kencing akan mengandungi sel nanah.
Ujian darah boleh dilakukan saudara untuk mengesan jika ada kuman atau kuman virus dalam sistem saudara. Jika ada dan jenis kuman terbabit dapat dikenal pasti, maka ubat sewajarnya akan diberi doktor untuk mengatasi masalah berkenaan.
Segeralah berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan supaya masalah sebenar dapat dikesan.