Masalah cepat lembik atau loyo

SAYA sering gagal membuat penetrasi ketika bersetubuh kerana zakar saya kurang padat dan membawa kepada ejakulasi pramatang. Ketika pemanasan zakar saya menegang tetapi bila terlalu terangsang ia menjadi lembik dan jantung pula berdegup kencang.

Pelbagai kaedah sudah saya cuba termasuk memakai cincin penebat, ubat sapuan untuk mengurangkan rasa sensitif tetapi hasilnya sama juga dan ia gagal membantu. Boleh doktor terangkan masalah sebenar saya?

Ali, Sabah

Hubungan seksual ialah aktiviti fizikal yang dianggap lasak. Apabila terdapat kekurangan dari segi stamina, kekuatan fizikal, kurang tenaga, otot kurang mantap dan ereksi kurang daya, maka kegagalan akan berlaku.

Anda dapati bahawa ereksi anda kurang padat. Ini bermakna daya ereksi atau ‘gred’ ereksi anda kurang. Maka ia tidak dapat melakukan penembusan atau ereksi hanya tersimpan dan sentalan yang berlaku kepada penghujung zakar membuatkan anda hilang daya kawalan untuk mengelak pencapaian klimaks.

Ini membuatkan anda mengalami ejakulasi lebih awal daripada kehendak anda dan pasangan. Jadi apabila anda dapat mencapai ereksi yang cukup padat, iaitu ereksi Gred empat, maka anda akan mudah mengawal gerakan dan mengawal tindak balas geselan zakar ke mukosa corong faraj dan dapat memanjangkan permainan sehingga anda dan pasangan mengakhirinya.

Bagaimanapun, jika ereksi berada dalam gred terbabit dan anda masih mengalami ejakulasi awal, anda masih dapat mengekalkan ketegangan zakar serta masih boleh meneruskan hubungan seks untuk seketika sebelum ereksi itu menjadi lemah.

Jika ini kerap berlaku, mungkin anda boleh menggunakan jeli ‘bius’ atau jeli ‘anaesthetic’ untuk disapu pada penghujung zakar yang mudah nyilu itu (mencuci dengan air sebelum bersetubuh) supaya dapat mengurangkan rasa geli.

Krim yang dijual di luar sana tanpa pengesahan doktor sebenarnya bukan krim bius dan ia boleh merosakkan mukosa penghujung zakar dengan membuatkan mukosa itu menjadi radang.

Anda perlu berwaspada apabila anda menggunakan krim terbabit tanpa nasihat doktor. Jadi jika anda mengamalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman berkala yang dapat membantu meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal, tidak merokok, tidak minum minuman keras dan melakukan senaman Kegel atau senaman kemut untuk memantapkan otot lantai pelvis (otot benteng zakar), maka anda dapat meningkatkan daya kekuatan ereksi kepada gred keempat tadi.

Jika kebetulan anda mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan pencapaian ereksi yang padat, anda mungkin perlu mendapatkan ubat PDE-5 Inhibitor seperti Viagra, Cialis atau Zydena daripada doktor untuk meningkatkan daya ereksi.

Saya tidak syorkan anda memakan ‘ubat kuat’ yang sudah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan kerana memudaratkan kesihatan.

Pendek kata, tidak ada satu cara yang dapat membantu masalah anda. Walau bagaimana pun anda tidak harus berputus asa. Dapatkan rawatan daripada pakar terlebih dahulu dan amalkan gaya hidup sihat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...