ADIK lelaki saya mengadu terasa sakit apabila mahu membuang air kecil, malah cecair kuning seakan-akan nanah turut keluar daripada alat sulitnya.
Dia juga mengalami demam teruk. Adik saya bercerita kepada saya, dia pernah menjalin hubungan sejenis dengan pasangannya.
Saya membuat kajian di Internet dan mendapati dia menghidap penyakit gonorrhea. Dia sudahpun membuat pemeriksaan doktor dan diberi suntikan untuk mengubati penyakit berkenaan.
Saya ingin bertanya doktor:
1. Adakah penyakit itu berkekalan dalam hidupnya?
2. Jika dia berkahwin, adakah dia tidak akan dapat melahirkan zuriat kerana penyakit itu? Ini kerana jika tidak sembuh sepenuhnya, besar kemungkinan pasangan dia akan dapat penyakit berkenaan?
3. Adakah dengan rawatan suntikan dan makan pil antibiotik akan dapat mengubati penyakit itu sepenuhnya?
ARIFF
Shah Alam
Adik lelaki saudara melakukan seks rambang dengan kenalannya tanpa perlindungan dan kini menghidap penyakit kelamin. Jika tidak pernah menghidap penyakit kelamin sebelum ini, tentu dia mendapat penyakit daripada pasangannya.
Simptom itu jelas menggambarkan adik anda mengalami keradangan salur kencing.
Jadi ada kemungkinan dia menghidap jangkitan penyakit kelamin yang menyerang salur kencing seperti jangkitan kuman gonorrhea atau kuman virus chlamidia atau ureaplasma.
Untuk penentuan jangkitan sebenar, ujian darah dapat mengesan jangkitan itu. Daripada ujian itu, rawatan lebih tepat dapat diberi. Rawatan tanpa pemeriksaan teliti tidak mencukupi.
Sebahagian besar individu yang menghidap penyakit jangkitan kelamin kerap mendapat beberapa jangkitan lain jika kebetulan pembawa jangkitan itu ada ‘multiple infections’ atau penghidap pelbagai jenis penyakit kelamin. Jadi, merawat jangkitan berkenaan tidak mencukupi.
Lebih baik untuk adik anda menjalani saringan untuk semua jangkitan penyakit kelamin berkaitan seperti saringan untuk jangkitan sifilis, kuman virus HIV, kuman virus herpes dan kuman virus hepatitis B.
Bayangkan jika dia menghidap jangkitan lain seperti HIV, tentu sukar mendirikan rumah tangga apabila perkara itu terdedah.
Jika terkena jangkitan hepatitis dan kebetulan dia pembawa kuman virus itu dan jika pasangannya (jika dia kahwin kelak) tidak mendapat suntikan imunisasi hepatitis B, pasti pasangannya juga akan terkena penyakit sama.
Sama juga dengan jangkitan herpes, pasangannya juga boleh dijangkiti jangkitan berkenaan. Berbeza seperti penyakit Chlamidia, jika tidak dikesan dari awal ia boleh menyebabkan kerosakan sistem reproduksi perempuan dan menyebabkan si isteri sukar hamil.
Begitu juga jangkitan kuman virus herpes yang boleh menyebabkan keguguran janin dan kerosakan janin dalam rahim. Jadi anda boleh membayangkan betapa serius jangkitan penyakit kelamin dan memandangkan kini ada pelbagai jenis jangkitan yang bercampur aduk, mustahak untuk mana-mana individu yang mengalami satu jangkitan yang menunjukkan simptom, menjalani ujian darah untuk saringan penyakit jangkitan kelamin lain yang mana ia mungkin tersembunyi dalam badan individu itu.
Di samping itu, beberapa jangkitan penyakit kelamin kebal daripada kebanyakan ‘antibiotik’ kerana penyalahgunaan ‘antibiotik’. Keadaan ini memberatkan risiko kesihatan jika individu yang terkena jangkitan itu masih membawa kuman terbabit tanpa mengetahui dia akan menyebarkannya kepada pasangan kemudian hari.
Kini jangkitan penyakit kelamin boleh dijangkiti melalui hubungan seks rambang dengan sesiapa dan tidak semestinya dengan pelacur saja.
Perlindungan dengan menggunakan kondom atau mencuci anggota kelamin dengan antiseptik tidak menjamin daripada dijangkiti jangkitan penyakit kelamin, kecuali bersetubuh dalam institusi rumah tangga.
