saya berumur 26 tahun dan ingin berkahwin. Bagaimanapun, saya mengalami masalah angin pasang atau uluran. Namun begitu, saya sendiri tidak pasti mengenainya.
Apabila saya terangsang, zakar akan tegang dan jika terlalu lama, saya akan rasa sakit pada sebelah kiri, di antara pundi kencing dan kemaluan. Selepas banyak kali diurut tradisional, sakit tetap tidak hilang.
Oleh itu saya membuat keputusan untuk melakukan onani apabila terasa sakit dan rasa sakit ini akan hilang selepas air mani keluar. Namun, saya mendapati terdapat seketul cairan air mani berbentuk seperti jeli yang besar dan ada kalanya kecil pada setiap kali onani.
Adakah saya menghidapi angin pasang atau ia sebenarnya masalah lain, dan apakah kaedah perubatan lain untuk menghilangkan sakit ini selain melakukan onani?
Khir
Selangor
Angin pasang atau uluran berlaku apabila gumpalan usus termasuk ke dalam kerandut atau kantung buah zakar melalui pembukaan luar biasa di antara perut dan kerandut. Apabila gumpalan usus itu mengembang kerana kandungan dan gerakan angin dalam usus, kantung buah zakar itu akan kelihatan besar.
Jika tiada angin, maka kantung kelihatan kempis. Anda sepatutnya merujuk kepada doktor dan bukan tukang urut. Jika kebetulan tukang urut itu mengurut angin pasang, sudah tentu parah. Nampaknya, anda tidak mengalami uluran.
Apa yang anda alami ialah perasaan sengal atau tidak selesa pada bahagian di antara pundi kencing dan anggota kelamin. Ada kemungkinan anda menghidap varikosel di sebelah kiri. Varikosel ialah keadaan di mana pembuluh darah kepada buah zakar kembang dan berpuntal.
Jika ia ketara, buah zakar sebelah kiri akan kelihatan bergayut dengan urat vena yang mengembang. Jika ia baru terjadi, ia boleh dirasa melalui pemeriksaan doktor. Ia tidak berbahaya dan jarang menyebabkan kilang buah zakar tidak berfungsi baik.
Jika ini berlaku, varikosel ini boleh diikat melalui pembedahan kecil. Anda menjelaskan yang anda terasa sakit atau kurang selesa di bahagian yang anda nyatakan tadi selepas anda teruja seksual.