Sperma air mani tak bergerak

Spread the love

BARU-BARU ini, saya menjalani ujian sperma dan keputusannya mendapati saya mempunyai sperma tetapi ia tidak bergerak. Adakah sperma itu mati dan tidak boleh lagi digunakan? Adakah ia juga berpunca akibat pengambilan ubat darah tinggi seperti amlodiphine dan perindopril?

NICK

Kuala Lumpur

Sebenarnya anda tidak perlu melakukan ujian air mani jika belum berkahwin atau mengalami masalah kesuburan. Biasanya, pasangan yang belum mendapat anak selepas berkahwin lebih dua tahun perlu menjalani ujian kesuburan, di mana satu daripadanya ialah ujian air mani.
Hasil ujian dijalankan, anda didapati memiliki sperma dan ia sampai ke penghujung salur sperma. Dalam kes anda, mungkin ketika proses ejakulasi berlaku, sperma bercampur aduk dengan cecair dari pundi prostat dan pundi seminal, menyebabkan ia kaku serta tidak bergerak.

Sperma itu tidak mati tetapi kaku akibat tindak balas antibodi sperma di mana kemungkinan ada sesuatu dalam cecair pundi prostat atau pundi seminal yang menyebabkan ia tidak bergerak.

Jika air mani dibersihkan melalui prosedure sperm washing, ada kemungkinan sperma itu bergerak jika antibodi dapat dibersihkan.

Untuk tujuan itu, anda perlu menjalani ujian air mani yang lebih komprehensif, di mana sebahagian air mani dibersihkan untuk mengetahui sama ada ia aktif atau sebaliknya.

Tidak dinafikan sperma sangat sensitif dan penghasilannya boleh tergendala akibat kesan ubat-ubatan atau herba tertentu. Ubat untuk tekanan darah tinggi seperti amlodiphine atau mana-mana ‘calcium channel blockers’ didapati boleh mengganggu keaktifan sperma untuk sebahagian lelaki.

Ini termasuk ubat antibiotik seperti tetracycline, macrolides, anti kulat dan ubat gastrik cimetadine atau herba tertentu seperti biji peria, biji betik, ekstrak bawang putih, lada hitam, produk kacang soya seperti taufu, B-pollen dan pelbagai lagi didapati boleh mengganggu penghasilan sperma lelaki.

Namun demikian, tidak bermakna semua ubat dan herba itu boleh menjejaskan kesuburan lelaki. Ia bergantung kepada dos dan kekerapan pengambilan produk terbabit.

Jika was-was dengan ubat berkenaan, doktor boleh memberi anda ubat yang tidak memberi kesan negatif kepada kesuburan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...