APAKAH jenis ubat perangsang dan ubat yang dapat melancarkan peredaran darah dalam zakar seperti doktor pernah saran sebelum ini. Saya mengalami masalah di mana suami saya sukar terangsang. Adakah ubat itu mampu merangsang nafsunya kembali?
INGIN TAHU
Selangor
Apabila terangsang secara seksual, lelaki akan mencapai ereksi yang mana secara tidak langsung menggambarkan kehendak dan keinginannya melakukan sesuatu kepada ereksinya dan menghayati keseronokan yang mana kesudahannya ialah ejakulasi atau pancutan air mani.
Justeru, jika lelaki tidak mencapai ereksi ketika melakukan seks, kebanyakan wanita menganggap si suami tidak terangsang.
Pada pandangan lelaki pula, jika dia mahu bersetubuh dengan pasangannya dan ereksi pula tidak menjadi padat, mereka menganggap diri mereka kurang ‘libido’ atau kurang rangsangan. Sebilangan lelaki yang lain pula menganggap perkara itu berlaku kerana pasangan mereka tidak memainkan peranan secukupnya.
Jika perkara itu berlarutan, lelaki akan buat-buat senyap, tidak mahu menyentuh isteri dan tidak mahu mencuba lagi. Jadi kita boleh sama-sama membayangkan bagaimana kegagalan lelaki mendapat ereksi mencukupi memberi pelbagai maksud berbeza kepada lelaki itu dan pasangannya.
Yang jelas, lelaki itu gagal mendapat ereksi padat untuk melakukan persetubuhan dan perkara ini tidak boleh dibiarkan. Kajian turut menunjukkan, lelaki yang tidak mampu mencapai ereksi mencukupi juga mungkin mengalami masalah kesihatan tersembunyi, iaitu tidak tahu dia ada penyakit.
Justeru, perkara yang sepatutnya dilakukan ialah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Sebilangan besar lelaki tidak tahu gaya hidup yang mereka amalkan boleh menyebabkan keadaannya menjadi begitu.
Obesiti, kurang senaman berkala, minum minuman keras, merokok dan tekanan turut didapati menjadi punca yang boleh dikaitkan dengan amalan gaya hidup tidak sihat.
Di samping itu, masalah kesihatan yang tersembunyi seperti peningkatan kolesterol dalam darah, perubahan glukosa pada tahap tinggi atau pra diabetis dan diabetis, peningkatan tekanan darah dan masalah sistem genitourinari-pundi kencing dan pundi prostat serta buasir juga menjadi penyebab lemahnya ereksi.
Jika benar-benar sayangkan suami, anda perlu memujuknya berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan kesihatan. Ubat pelancar darah, terapi hormon tambahan dan ubat memantapkan tenaga akan disyorkan selepas lelaki itu menjalani pemeriksaan kesihatan.
Amalan kuno dan pandangan ketinggalan zaman seperti berjumpa tukang urut, makan jamu, berjumpa dukun dan rawatan mengarut tidak boleh diguna pakai.
Jangan cuba membeli ubat kuat atau ubat pelancar darah tanpa pemeriksaan doktor. Jika tersalah makan anda pasti kesal terhadap kesannya.
Seboleh-bolehnya, segera berjumpa doktor. Jika lelaki tidak mengalami masalah, isteri harus memainkan peranan lebih bagi memenuhi kehendak suami supaya dia kembali terangsang.